Punca Pencemaran Udara (re-post)

Pencemaran udara berpunca daripada dua sumber utama iaitu daripada fenomena alam semulajadi dan fenomena buatan manusia. Antara punca daripada fenomena alam semulajadi termasuklah letusan gunung berapi, pembakaran hutan akibat daripada panahan petir, dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti manusia merupakan punca utama pencemaran udara di dunia. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang menyebabkan berlakunya pencemaran ialah seperti pembakaran terbuka, kenderaan bermotor, kegiatan perindustrian, sampah padat, penggunaan pelbagai bahan kimia, penjanaan kuasa elektrik dan aktiviti-aktiviti harian manusia.

Masyarakat dunia amnya amat bergantung kepada kenderaan bermotor untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Setiap pergerakan kenderaan bermotor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil yang menghasilkan asap yang boleh membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan bermotor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara dan kawasan Bandar lebih banyak menggunakan kenderaan bermotor jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar. Ini merupakan salah satu faktor mengapa kawasan bandar lebih tercemar berbanding kawasan luar bandar.

Perkembangan ekonomi dunia termasuk Malaysia bergantung kepada kegiatan perindustrian seperti elektronik dan kimia. Kebergantungan ini menyebabkan kegiatan ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Peningkatan kegiatan perindustrian ini menyebabkan penambahan pelepasan bahan pencemar seperti gas organik, gas bukan organik, bahan kimia dan juga habuk ke udara. Kegiatan industry yang berbeza menghasilkan bahan pencemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang memudaratkan dan boleh mengakibatkan perubahan iklim sedunia.

Pembakaran terbuka juga menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Pembakaran terbuka selalunya berlaku apabila peladang-peladang membakar pokok-pokok di ladang mereka bagi tujuan penanaman semula mahupun pembakaran hutan secara terbuka bagi tujuan pembangunan. Pembakaran ini menghasilkan banyak jelaga yang boleh menyebabkan jerebu. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya.

Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Pembakaran bahan api fosil ini menyebabkan asap-asap dilepaskan ke udara seterusnya pencemaran udara berlaku. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.

Isi rumah menyumbang kepada pencemaran udara melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk dan penyaman udara. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.

Aktiviti perladangan dan pertanian juga antara penyumbang kepada berlakunya pencemaran udara. Penggunaan baja dan penyemburan racun perosak ke pokok-pokok menyebabkan bahan kimia terbebas ke udara seterusnya mengotorkan ruang udara. Perokok perokok juga antara penyumbang kepada pencemaran udara. Pembakaran tembakau membebaskan lebih daripada satu gas ke udara yang membawa kesan buruk kepada kualiti nudara sekeliling.

1 comments:

YUSOFF said...

HIDUP INI ADA HANYA SEKADAR SEMENTAR SAHAJA ALAM BAQA ADALAH TEMPAT TERBAIK KITA SEBAGAI HAMBA ALLAH

Post a Comment