JEREBU


Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain mengaburi kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Jerebu tebal juga dikenali sebagai kabut. Antara sumber utama jerebu ialah kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan. Apabila dilihat dari jauh jerebu biasanya kelihatan sedikit keperangan. Namun jiak dilihat dari sudut dekat, ia berwarna putih seperti asap.


Kejadian jerebu di Malaysia mempunyai pertalian kuat dengan kehadiran titik panas yang dicerap daripada imej satelit Pulau Sumatra, Indonesia. Kajian lepas telah menunjukkan kehadiran musim kering yang berpanjangan kesan daripada fenomena El-Nino dan amalan pembakaran terbuka di kawasan pertanian yang luas di Sumatra menjadi faktor penyebab kepada kejadian jerebu di Malaysia.

Pelepasan sisa pembakaran ke udara dalam kadar yang tinggi boleh menyebabkan proses sebaran atau serakan udara tidak berupaya mencampur dan mengangkut bahan pencemar secara efektif. Akibatnya, wujud fenomena pencemaran udara seperti jerebu di wilayah berkenaan. Umumnya, punca pencemaran udara sesuatu kawasan boleh dikaitkan dengan dua sumber iaitu sumber tempatan dan sumber luaran. Sumber tempatan termasuklah kenderaan bermotor, tapak pelupusan sampah, kilang industri dan tapak pertanian. Sumber luaran pula bermaksud pergerakan sumber pencemar yang merentas sempadan negara dan membentuk episod jerebu yang dahsyat terutamanya di kawasan berdekatan pinggir pantai dan tanah rendah. Faktor meteorologi seperti keadaan lapisan troposfera rendah dan tengah juga boleh mengakibatkan keadaan udara memerangkap lebih banyak bahan pencemar.

Kajian telah menunjukkan peranan hujan penting dalam menghapus dan mengurangkan kadar jerebu di kawasan bandar. Kajian yang dibuat menunjukkan sebanyak 25% peratus pengurangan jerebu dapat dilakukan pada musim hujan. Jerebu menjadi teruk apabila tiba musim kering. Sebagai contoh pada tahun 1997 yang lalu, sebahagian besar Asia Tenggara menerima kesan kemarau yang berpanjangan. Hutan Hujan Tropika menjadi amat kering dan menjadi bertambah buruk apabila berlaku aktiviti penebangan dan pembakaran hutan sehingga menyebabkan kebakaran hutan yang sukar dikawal. Lebih dari lima juta hektar hutan terbakar di Kalimantan dan Sumatra menyebabkan penyebaran jerebu meliputi sebahagian besar Asia Tenggara. Kebakaran hutan tersebut telah menyebabkan kematian yang dianggarkan lebih dari seribu orang dan lebih dari 40000 orang terpaksa mendapat rawatan di hospital akibat terhidu asap jerebu yang tebal.

Jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, orang tua, pesakit lelah dan penyakit pernafasan lain serta perokok. Antara gejala akibat pendedahan kepada jerebu ialah iritasi kerongkong dan batuk-batuk, kesukaran bernafas atau hidung tersumbat, iritasi di mata serta mata menjadi merah dan kulit terasa gatal.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak masalah-masalah kesihatan akibat jerebu ialah jangan keluar rumah serta tutup semua pintu dan tingkap, pakai topeng muka yang mempunyai penuras jika terpaksa keluar, kurangkan pengunaan kenderaan terutama motosikal, sentiasa basuh bahagian badan yang terdedah atau selalu mandi, selalu minum air dan sediakan ubat jika anda mempunyai penyakit pernafasan.

0 comments:

Post a Comment